INFORMASI TEMPATAN

Maklumat Komuniti

Pengenalan

Kependudukan di Kampung Chepoh telah wujud sebelum penjajahan Jepun lagi. Pada 1940-an Kampung Chepoh telah dipegang di bawah tampuk kepimpinan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Lah. Kesesuaian kawasan di kampung ini untuk bercucuk tanam dan menanam pokok-pokok getah telah menyumbang kepada perkembangan dan kemajuan kependudukan di sini.

Sebelum adanya jalan raya, jambatan dan pengangkutan seperti motosikal, kereta, lori dan lain-lain lagi, penduduk dari seberang menyeberangi sungai sebelum sampai ke Kampung Chepoh. Disebabkan daripada loghat Terengganu yang menjadi simbol percakapan mereka maka muncul lah perkataan 'CHEPOH'.

Hal ini kerana sebelum menyeberangi sungai ada di antara mereka yang mencabar supaya menempuh sungai itu sehingga sampai ke pinggir Kampung Chepoh. Jadi dari situ mereka mula memanggil kampung yang menjadi tempat persinggahan mereka yang tanpa nama pada masa itu dengan nama 'KAMPUNG CHEPOH'.

Rekreasi & Pelancongan

Kubur Pahlawan Perang Padang Kachung

Kubur Pahlawan Perang Padang Kachung berada di dalam kawasan Masjid Haji Abdul Rahman Limbong, Kuala Telemong. Pada tahun 1928, British memperkenalkan dasarnya di Terengganu. Disinilah bersemadinya 12 pejuang yang menentang dasar British lalu kubur ini dipanggil 'Kubur 12' atau 'Kubur Besar'.

Mereka berkumpul dengan harapan dapat berjumpa dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam di Kuala Terengganu namun hasrat sebenar mereka telah diputarbelitkan dengan mengatakan kepada Baginda bahawa 12 petani itu akan melakukan pemberontakan. Pihak polis telah diarahkan oleh Baginda untuk menghalangkan mereka.

Ketika di Padang Kachung, para petani telah berdepan dengan pihak polis. Pihak polis cuba menghalang pergerakan mereka namun ada di antara mereka yang ingkar dengan arahan pihak polis lalu menyebabkan situasi menjadi tidak terkawal. Pihak polis memutuskan untuk melepaskan tembakan lalu terkena pada 12 orang petani itu.

Menurut versi yang lain pula mengatakan bahawa peristiwa berkenaan tercetus berikutan hasrat British yang ingin menghapuskan sisa pengaruh Islam kerajaan Turki Uthmaniyah yang terakhir iaitu di Kuala Berang, Terengganu.


Ulu Garden Homestay

Ulu Garden Homestay terletak di Kampung Binjai Kertas, Kuala Berang. Mempunyai 1 rumah penginapan berkonsepkan kampung dan 3 bilik calet. Mereka juga menawarkan perkhidmatan ruangan untuk majlis perkahwinan, makan malam, perpisahan, dan banyak lagi. Perkhidmatan katering juga disediakan oleh pihak homestay.

Tempat Makan Menarik



Kedai Nusuk Molek, Kuala Telemong

Kedai Ikan Bakar Palkadot
Kemudahan Awam
Masjid Kampung Chepoh
Klinik Desa Getang
Balai Polis Kuala Telemong
Pendidikan
Tabika Kemas Kg Chepoh
Sekolah Kebangsaan Getang
Kisah Kejayaan

Nur Azmina Izyan binti Mat Ali, berusia 14 tahun, merupakan ahli berdaftar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Chepoh telah menggunakan sepenuhnya manfaat dan kelebihan yang ada disini. Pada mulanya, Nur Azmina Izyan yang juga lebih mesra disapa Izyan, hanya mengunjungi PEDi untuk mengisi masa lapang ketika hujung minggu dengan melayari Youtube dan laman media sosial seperti Facebook.

Setelah diberi penerangan oleh pengurus mengenai kelebihan jika menjadi ahli, Izyan telah bersetuju untuk menjadi ahli berdaftar NADI Kampung Chepoh. Setelah itu, Izyan yang juga pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Telemong yang terletak di Kuala Telemong, sering kali mengunjungi NADI apabila pulang dari sekolah untuk mencari maklumat berkenaan kerja sekolahnya.

Izyan yang berasal dari Kampung Chepoh dengan jarak hanya kurang 500 meter dari NADI Kampung Chepoh juga sering mengikuti program yang diadakan seperti Kuiz Klik Dengan Bijak, Mencipta Poster Hari Ibu dan lain-lain lagi. Selain itu, Izyan juga menggunakan perkhidmatan lain yang disediakan seperti mencetak, fotostat, dan laminate terutamanya ketika melakukan kerja kursus yang telah diberikan oleh gurunya.

Selain ringan mulut untuk bertanya jika tidak mahir dalam melakukan sesuatu, Izyan juga sering membantu rakan-rakan lain yang datang bersamanya untuk mencari maklumat. Diharapkan dengan adanya kemudahan yang disediakan di NADI Kampung Chepoh dapat membantu sedikit sebanyak pelajaran Izyan dan memberi pendedahan mengenai dunia ICT kepadanya.

Keusahawanan

Che Ku Nor Hanis, berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Getang telah berjinak-jinak dalam dunia perniagaan bermula pada tahun 2019. Memandangkan beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan sebelum ini, beliau telah mengambil keputusan untuk bermula dari bawah dengan menjual produk kosmetik secara atas talian dengan menggunakan platform Shopee, Tiktok dan Whatsapp status.

Che Ku Nor Hanis atau lebih mesra dengan panggilan Hanis juga merupakan seorang graduan Diploma Kesetiausahaan Pentadbiran Kolej Vocational, memilih laman media sosial sebagai platform utama untuk mempromosikan produk kosmetik yang dijualnya. Hal ini disebabkan, produk kosmetiknya lebih mudah dijual secara atas talian.

Hanis yang juga merupakan salah seorang ahli berdaftar di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NaDi) Kampung Chepoh sering kali mengunjungi untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan. Pihak pengurusan NaDi Kampung Chepoh mendoakan agar urusan Che Ku Nor Hanis dipermudahkan dan berani mengambil satu lagi langkah ke hadapan untuk terus maju dalam bidang perniagaan seterusnya menjadi contoh kepada anak muda lain.